Sunday, 18 August 2013

Paksaan dan Pilihan.


Dalam hidup ini, kita terkadang bahagia, terkadang kita derita. Seperti lazimnya keadaan langit, terkadang cerah, terkadang gelap. Kehidupan kita juga begitu.

Sedar atau tidak, hakikatnya, sepanjang kehidupan kita ini, ada dua jenis kehidupan yang kita akan lalui dan tempuhi.

Pertama, hidup yang terpaksa.
Kedua, hidup yang dipilih.

Hidup yang terpaksa.

Hidup yang terpaksa selalunya adalah kehidupan yang menekan. Mahu atau tidak, kita terpaksa tempuhi. Ia bukan kehendak kita, tapi ia akan datang juga kepada kita. Sudah ketentuan Ilahi.

Contohnya seperti kesakitan, kesusahan, kesulitan, dan juga kematian.

Bila menyebut tentang keterpaksaan, sudah tentu kita akan terbayang perkara-perkara yang kita tidak sukai dan gemari. Walaupun kita cuba mengelak dari melalui keterpaksaan sebegitu, kita tiada kuasa untuk mengelaknya jika Allah sudah aturkan sedemikian rupa untuk kita.

Dalam keadaan ini, kita hanya mampu berdoa agar Allah menyelamatkan kita dari keadaan-keadaan tersebut. Moga Allah memberi jalan untuk kita melalui keadaan-keadaan itu dengan cara yang terbaik. Tahu atau tidak, kita selalu membaca doa supaya Allah menyelamatkan kita dari kesulitan dan musibah yang Allah tetapkan buat kita, yakni dalam doa qunut yang selalu kita lafazkan ketika solat subuh.

Namun, ada juga keterpaksaan yang membawa kebahagiaan. Tidak semestinya keterpaksaan itu suatu yang kita benci.

Contohnya kehidupan kita sendiri. Kita tidak memilih untuk punya adik beradik, tapi Allah beri kita kebahagiaan melalui mereka. Kita juga tidak memilih untuk punya ibu bapa yang mengasihi dan menjaga kita, tapi Allah beri kita semua itu.

Mungkin dalam kehidupan kita, banyak perkara yang kita tidak tentukan. Banyak perkara yang kita tidak sangka kita akan lalui, tapi kita melaluinya tanpa sedari. Terkadang kita suka dengan kehidupan yang kita dapat, terkadang juga kita tidak suka dengan apa yang kita dapat.

Dalam kehidupan jenis keterpaksaan ini, ada cara untuk kita melaluinya, iaitu melalui sabar, syukur, ikhlas dan redha. Yakin, segalanya punya hikmah.

Hidup yang dipilih.

Hidup  ini punya pilihan. Itu kata-kata yang sering kita dengari. Betul, hidup ini punya pilihan. Kita boleh pilih untuk melakukan sesuatu, dan kita juga boleh untuk tidak melakukan sesuatu.

Contoh yang mudah, kita boleh memilih untuk pergi ke masjid untuk solat berjemaah, kita juga boleh memilih untuk hanya solat bersendirian di rumah. Kita boleh memilih untuk memakai pakaian yang menutup aurat dan sebaliknya, dan sebagainya.

Namun, persoalannya, adakah pilihan kita itu, pilihan yang diredhai Allah?

Jawapannya sudah ada. Yakni dalam Al-quran dan as-sunnah.

Walaupun hidup ini punya pilihan, manusia sering sahaja tersalah dalam membuat pilihan. Mungkin lain yang dipilih, lain pula hasilnya. Tapi kita sentiasa mempunyai pilihan untuk membetulkannya semula. Lumrah manusia melakukan kesilapan. Janganlah terlalu bersedih hati bila segalanya tidak seperti apa yang kita rancang dan inginkan. Sentiasa ada jalan, Allah tak beri kita jalan buntu.

Allah juga sudah berfirman bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu umat melainkan mereka sendiri yang cuba untuk mengubahnya. Itu menunjukkan Allah memberi kita pilihan. Semoga kita tidak mudah berputus asa dengan kehidupan.

Allah telah menyediakan syurga dan neraka untuk kita pilih, dan pilihan kita di dunia ini yang akan menentukan pilihan kita di “sana” nanti. Seiringkan pilihan dengan amalan.

.....

Apapun jenis kehidupan yang kita lalui, sama ada terpaksa atau tidak, kita perlu redha dengan segala ketentuanNya. Hidup tidak semestinya seperti apa yang kita rancang dan inginkan, kerana kita hanya merancang, dan Allah juga merancang. Sesungguhnya perancangan Allah itulah yang terbaik.

Susah dan sulit mana sekalipun kehidupan kita sekarang, yakinlah bahawa segalanya punya hikmah yang tersembunyi. Kita hanya akan merasai kesenangan selepas kesusahan. Jika tiada kesusahan dalam kamus hidup kita, kesenangan juga tidak akan wujud. Kesenangan dan kebahagiaan akan lebih indah setelah kita merasai jerih perih dalam kehidupan. Kerana manusia tidak akan mensyukuri nikmat senang jika tidak pernah susah, manusia tidak akan mensyukuri nikmat sihat jika tidak pernah sakit.

Bila kita dalam kesulitan, yakinlah bahawa pada masa akan datang, kita akan lebih bahagia. Tidak di dunia, insyaAllah di akhirat kelak. Kita boleh memilih untuk melaluinya dengan iman atau dengan amarah. Maka pilihlah untuk melaluinya bersama iman, redha dan ikhlas.

Sesungguhnya Allah telah menjamin akan memberi jalan keluar untuk setiap permasalahan bagi orang yang beriman.  Allah tidak pernah menjamin kehidupan kita akan sentiasa mudah. Namun, Allah sudah memberi panduan untuk kita ikuti.


Sentiasa ada jalan keluar untuk setiap kesulitan. Tiada jalan buntu bila bersamaNya. InsyaAllah.


Entah apa laa yg aku merepek ni.

No comments: