Pujuklah hati,
Sesungguhnya yang layak menerima rinduku,
Dan sebaik-baik pengubat rindu,
Hanyalah padaMu Ya Allah.
Aku yakin,
Dengan merinduiMu,
Kau pasti menerima rinduku,
Sedangkan jika aku rindukan manusia,
Belum tentu dia merindukan aku.
Di kala hati terluka,
Dan kecewa kehilangan sesuatu yang disayangi,
Pujuklah hati.
Ya Allah,
Hanya Engkau yang layak aku cintai,
Kalau aku cintakan manusia,
Manusia akan pergi,
Kalau aku cintakan dunia,
Dunia pasti rosak,
Malah akan merosakkan aku,
Tetapi sekiranya aku mencintaiMu,
Pasti selangkah ku rapat padaMu,
Seribu langkah Kau rapat padaku.
Di kala hati merasa sedih dan pilu,
Berpisah dengan yang disayangi,
Ubatilah hati..
Ajaklah hati berkata...
Ahh.. aku hanya berpisah dengan manusia
Bukankah Tuhan masih ada untuk aku gantungkan hatiku.
Sesungguhnya hanya padaMu sahaja tempat aku mengadu.
Ya Allah, terimalah hati hambaMu ini.
Di kala hati merintih,
Kerana menerima ujian dan dugaan,
Didiklah hati.
Ya Allah,
Memang aku layak menerima kesusahan dariMu
Kerana hati ini banyak berdosa padaMu,
Juga sering mengulangi kesilapan lalu,
Aku pasti ya Allah,
Ujian dan kesusahan ini mengundang hikmah dan iktibar buatku,
Tanda kasih dan sayang Mu.
Ya Allah,
Sesungguhnya aku tidak layak memasuki syurgaMu,
Namun aku juga tak terdaya untuk menghadapi api nerakaMu,
Terimalah taubatku dan ampunkanlah dosa-dosaku,
Sesungguhnya Engkau menerima taubat hambaMu.
Ya Allah,
Kurniakanlah aku cintaMu,
Dan cinta orang yang cinta kepadaMu,
Dan cinta orang yg cinta kepada orang yang hampir kepadaMu,
Dan jadikanlah cinta itu yang boleh aku dambakan.
No comments:
Post a Comment