Monday, 7 April 2014

Menulis kembali.

Assalammualaikum Wbt.

Bismillah. Dengan nama Allah, aku meminta izin.

Lama sudah tak menghupdate blog. Since September 2013. Sy telah dihantar ke China selama 180 hari, dan di sana, blogspot kena block. Tak boleh la nak update sedangkan banyak gila nak taip.

Akhirnya, kembali juga ke tanah air dan menjalani hari-hari seperti biasa insyaAllah.

It's good to be back. :)


Sunday, 18 August 2013

Menangani kekecewaan di tempat kerja.

Wahai anakku,

Satu ketika dulu engkau tertanya-tanya tatkala menghadapi kekecewaan di tempat kerja:
1. Mengapa kamu melakukan kerja bodoh ini?
2. Terasa diri kamu tersepit?

Kini kamu menghadapinya semula. Masihkah engkau ingat akan jawapanku? Ingatlah anak kesayanganku, jika kamu merasa kecewa dan tidak gembira... kamu sebenarnya bukan mencari penyelesaian, tapi mencari lebih banyak masalah.
Aku berkata padamu penyelesaian amat mudahnya: kamu cuma perlu SENYUM dan BERIKANLAH SEGALANYA YANG ANDA MAMPU.

Kamu ternganga mendengar jawapan aku. “Begitu senang?” kamu bertanya kembali lalu aku menjelaskan mengapa.

Wahai anakku,
Manusia yang berusaha kuat dan rajin akan merasa yakin dan selesa pada dirinya sendiri. Mereka akan mengambil segala peluang untuk mengasah dan menambah kemahiran diri.

Akhirnya, mereka mendapat membina reputasi sebagai orang rajin dan sanggup berkorban. Atas sebab itu, ada kala dan ada orang yang terlihat dan kagum dengan sikap mereka lalu memberikan mereka kerja yang lebih baik.
Wahai anakku, 
jika kamu mengambil pendekatan mereka, satu hari nanti, kamu juga akan berasa yakin untuk melakukan demi kepentingan diri sendiri.

Wahai anakku,
Bagaikan dilanda ribut di tengah lautan, kamu usah berfikir benda lain ketika itu melainkan teruskan dayunganmu sekuat hati dan segala tenaga. Begitu juga di alam pekerjaan, bagilah segalanya yang kamu mampu, kerana ini kunci untuk membuatkan diri berasa positif dan menghindari pemikiran yang negatif. Ini juga adalah kunci untuk membuka peluang lain yang kamu tidak pernah sangka dan juga satu situasi yang baik untuk memperbaiki situasi yang ada.

Jikalaulah engkau seorang yang berfikiran begini:
"Kalau saya dapat satu kerja yang bagus, saya akan bekerja kuat... disebabkan saya dapat kerja teruk macam ini, lebih baik saya tidur saja”, kamu sebenarnya tersilap besar dan sikap ini tidak akan membawa kamu ke mana-mana.

Wahai anakku,
Di mana-mana sahaja, ingatlah asalkan kamu memberikan segalanya yang terbaik, insha-Allah ia akan membantu membuka peluang yang lain untuk kamu. Kadang-kala ia memakan masa, tapi yang pasti ia akan datang. Sesungguhnya, mereka yang berusaha, rajin akan lebih berjaya daripada mereka yang sering mencari alasan. Kamu nak jadi orang yang macam mana, wahai anak kesayanganku?

Senyum.

-Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)


Paksaan dan Pilihan.


Dalam hidup ini, kita terkadang bahagia, terkadang kita derita. Seperti lazimnya keadaan langit, terkadang cerah, terkadang gelap. Kehidupan kita juga begitu.

Sedar atau tidak, hakikatnya, sepanjang kehidupan kita ini, ada dua jenis kehidupan yang kita akan lalui dan tempuhi.

Pertama, hidup yang terpaksa.
Kedua, hidup yang dipilih.

Hidup yang terpaksa.

Hidup yang terpaksa selalunya adalah kehidupan yang menekan. Mahu atau tidak, kita terpaksa tempuhi. Ia bukan kehendak kita, tapi ia akan datang juga kepada kita. Sudah ketentuan Ilahi.

Contohnya seperti kesakitan, kesusahan, kesulitan, dan juga kematian.

Bila menyebut tentang keterpaksaan, sudah tentu kita akan terbayang perkara-perkara yang kita tidak sukai dan gemari. Walaupun kita cuba mengelak dari melalui keterpaksaan sebegitu, kita tiada kuasa untuk mengelaknya jika Allah sudah aturkan sedemikian rupa untuk kita.

Dalam keadaan ini, kita hanya mampu berdoa agar Allah menyelamatkan kita dari keadaan-keadaan tersebut. Moga Allah memberi jalan untuk kita melalui keadaan-keadaan itu dengan cara yang terbaik. Tahu atau tidak, kita selalu membaca doa supaya Allah menyelamatkan kita dari kesulitan dan musibah yang Allah tetapkan buat kita, yakni dalam doa qunut yang selalu kita lafazkan ketika solat subuh.

Namun, ada juga keterpaksaan yang membawa kebahagiaan. Tidak semestinya keterpaksaan itu suatu yang kita benci.

Contohnya kehidupan kita sendiri. Kita tidak memilih untuk punya adik beradik, tapi Allah beri kita kebahagiaan melalui mereka. Kita juga tidak memilih untuk punya ibu bapa yang mengasihi dan menjaga kita, tapi Allah beri kita semua itu.

Mungkin dalam kehidupan kita, banyak perkara yang kita tidak tentukan. Banyak perkara yang kita tidak sangka kita akan lalui, tapi kita melaluinya tanpa sedari. Terkadang kita suka dengan kehidupan yang kita dapat, terkadang juga kita tidak suka dengan apa yang kita dapat.

Dalam kehidupan jenis keterpaksaan ini, ada cara untuk kita melaluinya, iaitu melalui sabar, syukur, ikhlas dan redha. Yakin, segalanya punya hikmah.

Hidup yang dipilih.

Hidup  ini punya pilihan. Itu kata-kata yang sering kita dengari. Betul, hidup ini punya pilihan. Kita boleh pilih untuk melakukan sesuatu, dan kita juga boleh untuk tidak melakukan sesuatu.

Contoh yang mudah, kita boleh memilih untuk pergi ke masjid untuk solat berjemaah, kita juga boleh memilih untuk hanya solat bersendirian di rumah. Kita boleh memilih untuk memakai pakaian yang menutup aurat dan sebaliknya, dan sebagainya.

Namun, persoalannya, adakah pilihan kita itu, pilihan yang diredhai Allah?

Jawapannya sudah ada. Yakni dalam Al-quran dan as-sunnah.

Walaupun hidup ini punya pilihan, manusia sering sahaja tersalah dalam membuat pilihan. Mungkin lain yang dipilih, lain pula hasilnya. Tapi kita sentiasa mempunyai pilihan untuk membetulkannya semula. Lumrah manusia melakukan kesilapan. Janganlah terlalu bersedih hati bila segalanya tidak seperti apa yang kita rancang dan inginkan. Sentiasa ada jalan, Allah tak beri kita jalan buntu.

Allah juga sudah berfirman bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu umat melainkan mereka sendiri yang cuba untuk mengubahnya. Itu menunjukkan Allah memberi kita pilihan. Semoga kita tidak mudah berputus asa dengan kehidupan.

Allah telah menyediakan syurga dan neraka untuk kita pilih, dan pilihan kita di dunia ini yang akan menentukan pilihan kita di “sana” nanti. Seiringkan pilihan dengan amalan.

.....

Apapun jenis kehidupan yang kita lalui, sama ada terpaksa atau tidak, kita perlu redha dengan segala ketentuanNya. Hidup tidak semestinya seperti apa yang kita rancang dan inginkan, kerana kita hanya merancang, dan Allah juga merancang. Sesungguhnya perancangan Allah itulah yang terbaik.

Susah dan sulit mana sekalipun kehidupan kita sekarang, yakinlah bahawa segalanya punya hikmah yang tersembunyi. Kita hanya akan merasai kesenangan selepas kesusahan. Jika tiada kesusahan dalam kamus hidup kita, kesenangan juga tidak akan wujud. Kesenangan dan kebahagiaan akan lebih indah setelah kita merasai jerih perih dalam kehidupan. Kerana manusia tidak akan mensyukuri nikmat senang jika tidak pernah susah, manusia tidak akan mensyukuri nikmat sihat jika tidak pernah sakit.

Bila kita dalam kesulitan, yakinlah bahawa pada masa akan datang, kita akan lebih bahagia. Tidak di dunia, insyaAllah di akhirat kelak. Kita boleh memilih untuk melaluinya dengan iman atau dengan amarah. Maka pilihlah untuk melaluinya bersama iman, redha dan ikhlas.

Sesungguhnya Allah telah menjamin akan memberi jalan keluar untuk setiap permasalahan bagi orang yang beriman.  Allah tidak pernah menjamin kehidupan kita akan sentiasa mudah. Namun, Allah sudah memberi panduan untuk kita ikuti.


Sentiasa ada jalan keluar untuk setiap kesulitan. Tiada jalan buntu bila bersamaNya. InsyaAllah.


Entah apa laa yg aku merepek ni.